KLIK DISINI UNTUK MELIHAT SEMUA ARTIKEL

Durian runtuh: Warga Felda buat laporan polis


Khairil Abdul Rahim



TEMERLOH: Lapan orang warga Felda sekitar Jengka hari ini membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) di sini berikutan tindakan pengurusan Felda yang menghantar surat pekeliling meminta peneroka menyerahkan dokumen penting.

Laporan tersebut menamakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan pengurus-pengurus Felda yang mengeluarkan pekeliling berkenaan untuk disiasat.

Antara lain pekeliling tersebut meminta peneroka menyerahkan salinan kad pengenalan berwarna, geran ladang dan rumah, maklumat pentadbir tanah, maklumat anak-anak, status bank, salinan akaun Maybank dan nombor keahlian Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Serentak dengan kekeliruan dihadapi peneroka berikutan pekeliling yang mula diedarkan sejak dua minggu lalu itu, mereka mendesak pihak polis menyiasat tujuan dokumen tersebut diperlukan.

Polis juga didesak menyiasat sejauh mana benarnya pekeliling berkenaan kononnya peneroka dijanjikan dengan durian runtuh (hasil penyenaraian saham) sedangkan mesyuarat (EGM) KPF telah dibatalkan.

Polis juga diminta menyiasat kebimbangan dan kemungkinan geran hak milik peneroka akan dicagar untuk tujuan tertentu di sebalik penubuhan Syarikat Tujuan Khas (SPV) seperti diumumkan Isa Samad.
Jurucakap warga Felda yang membuat laporan polis berkenaan, Aris Fezul Ismail berkata, mereka amat dukacita disogokkan dengan gambaran akan mendapat durian runtuh dalam bentuk saham dan wang tunai melalui pekeliling berkenaan.

“Peneroka terpedaya dengan menuruti semua kehendak pengurusan Felda tanpa memikirkan risiko apabila dokumen yang sangat penting seperti geran hak milik diberikan.

“Penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia masih samar-samar ekoran EGM KPF pada 22 Februari yang lalu dibatalkan sedangkan durian runtuh itu apabila disenaraikan.

“Jadi terdapat sebahgian warga Felda yang keliru dengan pekeliling tersebut, adakah pengurusan Felda hanya menjadi alat kepada agenda pemimpin tertentu (Ahmad Maslan dan Isa Samad) yang mempertegaskan penyenaraian FGVH akan tetap diteruskan,” katanya.

Tambah Aris, sehingga ke hari ini tidak ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pegawai tertinggi Felda justeru polis diminta menyiasat sejauh mana kebenaran pekeliling tersebut bagi mengelakkan peneroka terpedaya dengan sandiwara pemimpin tertentu yang berselindung di sebalik tawaran durian runtuh.

Sementara itu, kira-kira 200 peneroka hadir memberi sokongan. Turut hadir Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, peguam Harris Abdullah, Ketua Pemuda PAS Pahang Shahril Azman Abdul Halim serta ketua-ketua peneroka.

Dalam pada itu Mazlan menyokong tindakan warga Felda membuat laporan polis supaya siasatan dibuat kerana semua dokumen penting yang diminta boleh dimanipulasi untuk tujuan tertentu.

“Segala kemungkinan boleh berlaku, umpamanya mungkin dokumen penting yang diserahkan dibimbangi untuk tujuan tetap menyenaraikan Felda di bursa saham dan tidak mustahil geran hak milik ladang dan rumah dijadikan cagaran sebab geran besar tanah peneroka ada dalam simpanan Felda.

“Saya juga mendesak pekeliling yang amat mengeliru dan membimbangkan peneroka ini ditarik balik dengan segera oleh Felda atau laporan polis akan dibuat seluruh negara,” tegasnya.

Sumber: http://penpasksgb.blogspot.com/

 
Load Counter