KLIK DISINI UNTUK MELIHAT SEMUA ARTIKEL

Tangan-tangan Hitam di Hutan Belum

Kenyataan Media YB V.Sivakumar, ADUN Tronoh, Timbalan Pengerusi DAP Perak di Ipoh pada 18/9/2011

Tangan-tangan Hitam di Hutan Belum

Baru-baru ini masalah mendogolkan hutan simpanan menjadi satu isu yang besar di Negeri Perak. Siapakah diantara ‘tangan-tangan hitam’ yang terlibat dalam pembalakan haram dan pembersihan hutan ini? Sungguh pelik kalau pihak kerajaan negeri tidak mengetahui aktiviti-aktiviti haram yang berlaku dengan begitu berleluasa. Adakah pemimpin-pemimpin kerajaan negeri itu buta? Atau pura-pura menjadi pekak apabila isu ini dibangkitkan? Adalah mustahil untuk aktiviti-aktiviti haram ini dilakukan tanpa pengetahuan dan restu daripada kerajaan negeri.

Isu membersihkan hutan seluas 74ha di Belum-Temenggor Forest Complex (BTFC) menjadi hangat apabila perkara ini didedahkan oleh salah satu media tempatan. Sungguh menakjubkan apabila Menteri Besar Perak, Dato Seri Zambry Abl Kadir membuat kenyataan akhbar seolah-olah beliau tidak mengetahui tentang perkara itu. Beliau memberi arahan untuk menyiasat sedalam-dalamnya mengenai aktiviti membersihkan hutan tersebut. Zambry berkata beliau tidak akan bertolak ansur sebarang penyalah gunaan malah beliau komited untuk melindungi alam semulajadi terutamanya Hutan Belum. Beliau juga dalam kenyataanya mengatakan bahawa Hutan Belum adalah kawasan yang dilindungi dan merupakan tanah yang telah digazetkan sebagai hutan. Kenyataan beliau ‘bagai udang dalam tanggung’ itu sudah pasti tidak dapat diterima sewenang-wenangnya oleh orang-orang yang rasional.

Zambry sebagai Menteri Besar Perak harus berasa malu jika benar perkara ini berlaku diluar pengetahuan beliau. Siapakah yang berani ceroboh memasuki dan membersihkan hutan simpanan yang dilindungi oleh kerajaan? Zambry cuba memperbodohkan rakyat Perak apabila isu ini dibongkarkan. Bagaimana perkara ini boleh berlaku tanpa pengetahuan pihak Pejabat Tanah dan Daerah Grik, Majlis Daerah Grik, Jabatan Perhutanan dan agensi-agensi kerajaan yang lain? Kerajaan negeri sudah terjebak dan harus mengambil tanggungjawab dan menyelesaikan masalah yang timbul. Ini adalah kerana hutan-hutan khazanah negeri ini dimusnahkan oleh ‘tangan-tangan hitam’yang sudah tentu mereka mengetahui identitinya.

Tanah ini sebelumnya dimiliki oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak. Tetapi ia telah dipindah milik semula kepada Kerajaan Negeri beberapa bulan yang lalu. Adakah Zambry mahu menafikan bahawa beliau tidak megetahui tentang perkara ini? Aktiviti-aktiviti membersihkan hutan ini hanya bermula sejak 2 minggu yang lalu setelah tanah kawasan itu dipindah milik semula kepada kerajaan negeri. Bukankah ini membuktikan bahawa ada unsur-unsur yang ‘tidak kena’ dalam transaksi ini? Bagaimana kerajaan negeri hendak menjelaskan jika mereka mendakwa mereka tidak mengetahui apa-apa yang sedang berlaku di sana?

Sudah tentu perkara ini telah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Zambry cuba menutup cerita ini dengan adengan sandiwara berpura-pura. Jika benar pihak kerajaan negeri tidak tahu tentang perkara ini, orang-orang yang bersalah itu harus ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan dengan serta-merta. Sudah tentu kerajaan negeri tahu siapakah yang terlibat secara terus dalam manjalankan aktiviti-aktiviti ini. Tindakan ini adalah penting untuk membersihkan nama kerajaan negeri dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri jika mereka benar-benar tidak terlibat dalam skandal ini.

Dipercayai hutan itu dibersihkan untuk membuka jalan ke kawasan pendalamam yang akan diusahakan dengan penanaman kelapa sawit. Adakah aktiviti penanaman kelapa sawit juga dilakukan secara haram atau tanah itu telah diluluskan kepada pihak-pihak tertentu oleh kerajaan negeri? Walau bagaimanapun pihak Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak telah ‘mencuci tangan’ dengan mengatakan bahawa mereka tidak mengetahui apa-apa tentang projek penanaman kelapa sawit di kawasan pendalaman itu.

Sumber: http://speakforperak.blogspot.com/

 
Load Counter