KLIK DISINI UNTUK MELIHAT SEMUA ARTIKEL

Negeri Selangor akan mendahului Negeri-Negeri lain didalam pembelaan nasib peneroka-peneroka Felda dan Generasi baru Felda

Hasil daripada perbincangan yang diadakan diantara Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal Parti Keadilan Rakyat Pusat pada 18hb Mei 2011 dengan YB Elizabeth Wong di pejabat Ahli Exco itu, satu mesyuarat khas telah diadakan diantara Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR Pusat dengan Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR Selangor telah diadakan di Pejabat Parti Keadilan Rakyat Ranting Felda Suharto pada 21hb Mei 2011.

Mersyuarat yang diadakan pada hari ini memperincikan tindakan-tindakan yang bakal diambil untuk pembelaan terhadap peneroka-peneroka Felda Gedangsa yang melibatkan diri dengan perusahaan kolam ikan air tawar.

YB Elizabeth Wong telah memperakukan bahawa kolam ikan air tawar di Felda Gedangsa telah dibincangkan diperingkat Kerajaan dan apa yang perlu dilakukan ialah untuk mengemukakan secara rasmi permohonan oleh penternak-penternak ikan air tawar tersebut untuk mendapatkan tol bagi tanah-tanah yang telah diusahakan sebagai kolam ikan tersebut.

Sebuah Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh seorang penternak ikan air tawar Felda Gedangsa telah ditubuhkan bagi pelaksanaan tindakan kearah mendapatkan tol daripada Pejabat Tanah Daerah Hulu Selangor.

Perkara kedua yang dibincangkan adalah pengeluaran geran tanah yang melibatkan ladang-ladang bagi peneroka-peneroka Fasa 6 di Felda Suharto. Peneroka-peneroka tersebut telah lama menjelaskan BK mereka kepada Felda dan menjelaskan CAC melalui Felda tetapi geran tanah mereka masih dinafikan.

Begitu juga dengan peneroka-peneroka Felda Sungai Tengi Selatan, mereka masih belum menerima geran tanah mereka.

Dibawah Akta Tanah Berkelompok atau Group Settlement Act, mana-mana Peneroka yang sudah menjelaskan BK mereka dan sudah menjelaskan CAC mereka berhak menerima geran tanah masing-masing.

Tidak ada usaha dari Felda untuk mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri Selangor supaya geran tanah dapat dikeluarkan.

Satu Jawatankuasa Bertindak yang dipengerusikan oleh Sdr Amri Zainol telah ditubuhkan untuk peneroka-peneroka Fasa 6 Felda Suharto telah ditubuhkan untuk menyenaraikan semua peneroka-peneroka yang terlibat dan satu tindakan akan diambil samada melalui Felda atau terus kepada Kerajaan Negeri Selangor supaya geran tanah peneroka-peneroka ini dapat dikeluarkan dalam jangka masa yang terdekat.

Dibawah GSA 1960, hanya Kerajaan Negeri sahaja yang berkuasa keatas tanah, dan Felda hanyalah dilantik sebagai agensi pengurusan, dan Kerajaan Negeri berhak mengeluarkan geran tanah samada Felda memberikan persetujuan atau sebaliknya.

Peneroka-peneroka Felda Sungai Tengi Selatan yang telah lama menjelaskan BK dan CAC juga dinafikan geran tanah masing-masing. Sdr Abd Aziz dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Bertindak bagi pengeluaran geran untuk tanah-tanah di Felda Sungai Tengi Selatan.

Kedua-dua Jawatankuasa ini akan mengemukakan Memorandum mereka kepada YB Elizabeth Wong semasa lawatan Ahli Exco itu ke Felda Sg Tengi Selatan dan Felda Suharto pada 21hb Jun 2011 nanti. YB Elizabeth Wong akan juga melawat Felda Sg Tengi dan Felda Gedangsa.

Majlis-majlis Dialog akan diadakan di Felda Suharto diantara peneroka-peneroka Felda Hulu Selangor dengan YB Elizabeth Wong.

Satu Jawatankuasa Bertindak yang dipengerusikan oleh Peguam Abd Nasir telah ditubuhkan bagi memperincikan tindakan-tindakan untuk pelaksanaan projek perumahan untuk anak-anak peneroka Felda Hulu Selangor diatas tanah seluas 32.6 hektar, tanah Kerajaan yang dikenalpasti didalam perimeter Felda Suharto.

Pembinaan rumah mampu-milik itu akan diserahkan pelaksanaannya kepada Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS).

Sementara itu mesyuarat bersetuju untuk mengadakan Pelancaran Pemansuhan Felda Plantation yang akan diadakan di Felda Sungai Tengi, dan tarikh pelancaran itu tertakluk kepada tarikh yang ditetapkan samada oleh Timbalan Presiden KEADILAN, Sdr Azmin Ali, atau oleh Setiausaha Agung KEADILAN Sdr Saifuddin Nasution atau oleh Naib Presiden KEADILAN YB Nurul Izzah Anwar.

Biro Masyarakat Felda PKR Pusat telah mencadangkan dan tarikh secara tentatif telah pun dipersetujukan bersama-sama YB Elizabeth Wong untuk diadakan DISKUSI MENGENAI GSA dengan peserta-peserta terdiri daripada Ahli-Ahli Exco dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor serta Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Selangor, serta para peguam Pakatan Rakyat dan Ahli-Ahli Akademik pada 14hb Jun 2011 jam 11.00 pagi di Bilik Mesyuarat SUK Negeri Selangor.

Tujuan diskusi ini adalah untuk pemahaman bersama mengenai Group Settlement Act dan kuasa-kuasa Kerajaan Negeri dengan kuasa-kuasa Felda, sehingga kini, apabila disebut sahaja GSA, semua pihak menyatakan bahawa semua kuasa berada di tangan Felda, sehinggakan kuasa-kuasa Kerajaan Negeri keatas tanah secara mutlak juga diserah kepada Felda.

Tindakan-tindakan yang bakal diambil diatas akan mempastikan Kerajaan Negeri yang sebenarnya berkuasa dibawah GSA akan dapat melaksanakan tugasnya dan tidak menyerahkan kuasanya kepada Felda, dan justeru itu geran-geran tanah bagi Felda Suharto dan Felda Sungai Tengi Selatan akan dapat diserahkan kepada peneroka-peneroka Felda melalui kuasa dan tindakan Kerajaan Negeri Selangor.

Sumber: http://lubokkawah.blogspot.com/

 
Load Counter