KLIK DISINI UNTUK MELIHAT SEMUA ARTIKEL

5 ADUN tak jadi lompat

GUNUNG RAPAT, 13 Julai : Desas-desus yang mengatakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan melompat parti dan menyertai Barisan Nasional (BN) adalah tidak benar.

Naib Presiden PKR negeri, Dr Lee Boon Chye berkata, lima ADUN berkenaan masih teguh bersama parti itu dan menyatakan ikrarnya untuk terus dengan Pakatan Rakyat (PR).

“Mereka masih ahli PR dan tiada seorang pun yang akan melompat menyertai Barisan Nasional,” katanya pada sidang akhbar di pejabat PKR Bahagian Gopeng di sini, semalam.

Menurut Boon Chye yang juga Ahli Parlimen Gopeng, lima ADUN berkenaan iaitu Tai Sing Ng (Kuala Sepetang), S Kesavan (Hutan Melintang), Chan Ming Kai (Simpang Pulai), Chang Lih Kang (Teja) dan Abdul Yunus Jamahri (Kuala Kurau) telah ditemuinya semalam dan menyatakan tiada hasrat untuk melompat parti.

Katanya, khabar mengatakan mereka akan menyertai BN adalah tidak masuk akal kerana hanya ditimbulkan oleh sesetengah pihak sahaja.

Bagaimanapun, katanya ADUN bekas PKR yang melompat Bebas, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Osman Jailu (Changkat Jering) pula dikhabarkan tidak berpuas hati dengan BN kerana apa yang dijanjikan kepada mereka tidak ditunaikan.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan mengenai forum pada 16 Julai ini berhubung isu semasa PKR yang akan berlangsung di sebuah hotel di sini, pada jam 8 malam.

Orang ramai dijemput hadir pada hari berkenaan dan untuk tempahan awal diminta menghubungi Simon di talian 012-420 2264) atau Tan di talian 012-677 1788.SH

 
Load Counter